Huraian Tahi itik

Tahi itik disediakan dengan menggunakan putih telur yang telah diasingkan daripada kuning telur. Selepas itu, putih telur tersebut akan disira dengan dimasak di dalam air gula pekat dengan dituang sedikit demi sedikit bagi menghasilkan bentuk akhir. Biasanya tahi itik tidak dibentuk dalam bentuk tertentu kerana ia pada kebiasaannya hanyalah kuih sampingan kepada penyediaan kuih lain.

Tahi itik ini lebih popular di belahan Pantai Timur, terutama di Kelantan dan Terengganu yang mempunyai banyak hidangan kuih yang manis. Oleh kerana kos pembuatan yang rendah, ia ada dijual begitu sahaja dan tidak perlu ditempah lebih awal. Walau bagaimanapun, penghasilan dan penjualannya adalah bermusim.

Tahi itik sebaliknya kurang popular di negeri lain di Malaysia, kemungkinannya disebabkan oleh rasanya yang amat manis dan bergula itu dianggap kurang baik bagi kesihatan. Selain itu, rasanya yang manis memberikan tekstur yang melekit di tekak ketika ditelan. Tahi itik biasanya dihidangkan secara kering tanpa kuah atau air gula, kecuali yang melekat pada kuihnya.

Tahi itik sesuai dijadikan sebagai kudapan kerana rasanya yang sedap dan manis, biasanya dihidangkan dengan teh tawar kerana ia telahpun manis. Tahi itik turut menjadi tumpuan penggemar makanan yang ingin menukar namanya menjadi sesuatu yang lebih komersial.[1]